Jumat, 03 Agustus 2012

Cinta. Selayaknya Cinta.

C.I.N.T.A. Satu patah perkataan yang seringkali kita dengar dan memang dah jadi kebiasaan untuk didengari dalam kehidupan kita seharian. Apa yang paling penting, mampu membuatkan si pendengar senyum sorang-sorang. Lebih-lebih lagi kalau ungkapan tu diungkap oleh orang yang disayangi. Kenapa? Tepuk dada tanya hati. Tapi, apa sebenarnya erti cinta dalam Islam? Definisi CINTA Kita mulakan dengan definisi CINTA itu sendiri. Cinta seperti yang kita sedia maklum adalah satu perasaan yang datangnya dari hati yang tidak dapat dikawal. Cinta juga menggambarkan betapa sayangnya kita terhadap sesuatu sehingga segalanya-galanya nampak indah pada pandangan mata kita. Pendek kata, cinta boleh ditakrifkan sebagai satu kecenderungan hati terhadap sesuatu yang disukai. CINTA dan ISLAM Islam tidak pernah melarang umatnya untuk bercinta. Bahkan, Islam menggalakkan perasaan ini dan amat mementingkan nilai kasih-sayang antara satu sama lain. Cinta terhadap Rasulullah S.A.W, keluarga serta para sahabat baginda, cinta terhadap keluarga, cinta antara suami dan isteri, cinta sesama makhluk serta cinta terhadap agama dan negara adalah antara cinta yang dilandaskan pada jalan yang betul. Walhal, segalanya harus disandarkan kepada Yang Maha Memiliki Cinta iaitu Allah S.W.T. Namun, ramai yang silap dalam menilai erti kata cinta yang sebenar. Hal ini terjadi apabila cinta itu dicurahkan kepada insan yang belum halal untuk kita. Dalam erti kata yang lain, cinta terhadap teman wanita atau teman lelaki. Mana mungkin jika benih yang teruk akan menghasilkan baka yang baik. Jadi, curahkanlah perasaan CINTA yang membuak-buak itu terhadap si dia dengan halal. Ya, dengan berkahwin. Jadi, apa lagi, bila berkenan, risik dan kahwinlah. InsyaAllah, rezeki Allah itu luas. Orang kata, kahwin ni buka rezeki. Cubalah! Selayaknya CINTA Cinta seharusnya disandarkan kepada mereka yang benar-benar layak. Ingat lagi tak lagu Sayang-Sayang Allah masa zaman-zaman tadika dulu? Admin pun tak pasti tajuk sebenar lagu tersebut. Tapi, lagu itu membawa mesej yang sangat penting mengenai CINTA itu sendiri. i. Cinta kepada Allah Allah adalah Yang Maha Memiliki Cinta. Jadi, mana mungkin bagi kita untuk bercinta tapi, tidak disandarkan kepadaNya. Allah sangat cinta kepada sesiapa yang melabuhkan cinta terhadapNya. InsyaAllah, banyak kelebihannya sekiranya diri dicintai Allah. Cintanya Allah terhadap hamba-hambaNya yang bertaqwa boleh dilihat dengan terbentangnya peluang untuk bertaubat sehingga tanda-tanda akhir kiamat muncul iaitu terbitnya matahari dari arah barat. Hadis qudsi ada menyatakan : “Aku adalah sepertimana sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersama dengannya ketika ia mengingati Aku. Jika ia ingat kepada-Ku di dalam hatinya, Aku ingat kepadanya di dalam hati-Ku. Dan jika ia ingat kepada-Ku di khalayak ramai, nescaya Aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai lebih baik. Dan jika ia mendekati kepada-Ku sejengkal,Aku pun mendekatinya sehasta. Dan jika ia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepada-Ku berjalan, maka Aku datang kepadanya sambil berlari.”-Hadith Qudsi riwayat Syaikhan, Tirmidzi dan Abu Hurairah R.A ii. Cinta kepada Rasulullah Wajib terhadap setiap umat Islam untuk mencintai Rasulullah S.A.W. Jadi, bagaimana untuk merealisasikan cinta terhadap baginda yang dikasihi Allah ini? Mudah sahaja. Segala-galanya dapat dipupuk dengan membaca sirah junjungan mulia ini. Tak kenal maka tak cinta kan? Bermula dengan mengenali baginda, mengenali sifat-sifat keperibadian baginda serta mendalami setiap inci perjuangan baginda untuk memartabatkan Islam di mata dunia dapat menzahirkan perasaan cinta terhadap baginda. Apa yang paling penting, amalkan setiap sunnah baginda dalam kehidupan seharian kita. Perbanyakkan selawat ke atas baginda. Moga kita semua mendapat syafaat baginda di hari perhitungan kelak. Firman Allah S.W.T : Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Surah Al-Ahzaab : 56). iii. Cinta kepada ibu dan ayah Ibu adalah insan yang melahirkan kita dan ayah, merupakan insan yang sanggup bersusah payah demi kesenangan kita. Kedua-duanya berusaha untuk mendidik dan menjaga kita sehingga kita mampu menjadi kita yang sekarang. Jadi, jangan berat untuk mengungkapkan kata cinta terhadap mereka setiap kali berbual dengan mereka mahupun sekadar berbalsa pesanan ringkas. Ingat, sekali kita rindu kat ibu kita, 10 kali ibu kita rindukan kita. Serta, sekali kita susah hati ketika ketiadaan duit untuk membayar yuran pengajian, 10 kali si ayah bersusahan demi unutk memenuhi setiap keperluan kita. Hargailah dan cintailah mereka selagi hayat mereka masih dikandung badan. Firman Allah S.W.T: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (Surah Al-Isra’, 17: 24) Oleh itu, marilah kita sama-sama melabuhkan cinta terhadap yang selayaknya. Moga dengan memahami erti cinta yang sebenar, kita mampu peroleh cintaNya yang kekal abadi. InsyaAllah.

0 komentar:

Posting Komentar

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites