Senin, 25 Juli 2011

BUKti CINTA


Seseorang yang mendakwa bahawa dirinya mencintai Allah dan mengasihiNya, tetapi tidak mengikuti atau tidak mentaati syariatNya serta sunnah NabiNya, maka orang seperti ini pada hakikatnya bukan sahaja tidak mencintai Allah malah sudah membatalkan akidah, membatalkan kalimah tauhid yang diucapkan dan amal ibadahnya. Kerana kesempurnaan tauhid adalah setelah mencintai Allah s.w.t dan RasulNya lebih dari segala-galanya. Sebagaimana firmanNya:

"Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutlah aku, pasti Allah cinta kepadamu". (ALI IMRAN, 3:31)

Definisi ibadah itu sendiri antaranya bermaksud cinta yang menyeluruh yang dibuktikan sama ada melalui perbuatan, percakapan dan gerak hati. Sebagaimana definisi yang masyhur dan disepakati oleh ulama:

"Ibadah menurut syara ialah: Nama yang menyeluruh untuk apa sahaja (perbuatan) yang dicintai Allah dan diredaiNya sama ada yang berupa tindakan, pertuturan dan perbuatan lahir atau batin (hati)".

Ini bermakna seorang mukmin tidak akan mengucapkan sesuatu ucapan, perkataan atau pertuturan dan begitu juga tidak akan melakukan sesuatu pekerjaan sama ada lahir dan batin kecuali semata-mata kerana ingin memperolehi cinta dari Allah dan mencari keredaanNya agar dapat memurnikan cintanya (ibadahnya) kepada Allah s.w.t. Cinta kepada Allah adalah ibadah seperti mana yang telah dijelaskan, oleh sebab itu wajiblah dilakukan dengan penuh keikhlasan. Sebagaimana firman Allah:

"Maka beribadahlah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan hanya untukNya". (AZ-ZUMAR, 39:2)

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus". (AL-BAYYINAH, 98:5)

Bukti kesempurnaan cinta seseorang hamba kepada Allah s.w.t ialah apabila mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan membenci terhadap apa yang dibenci oleh Allah. Sesiapa yang mencintai apa yang dibenci oleh Allah dan sebaliknya, ini membuktikan ketidak sempurnaan tauhidnya (akidahnya) terhadap Allah yang mengakibatkan terbatal segala pahala amalannya. Firman Allah:
"Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikut apa yang menimbulkan kemurkaan Allalh dan (kerana) mereka membenci (apa yang menimbulkan) keredaanNya. sebab itu Allah menghapuskan (pahala) amal-amal mereka". (MUHAMMAD, 47:28).

"Dari Aisyah, dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Kesyirikan pada umatku lebih tersembunyi dari seekor semut (halus) di atas batu di malam gelap gelita. Serendah-rendahnya ialah mencintai terhadap sesuatu yang keji atau membenci sesuatu yang adil (kebenaran). Tiadalah agama itu kecuali mencintai dan membenci". (Hadis Riwayat Hakim)

Berkata Hasan al-Basri: "Ketahuilah, bahawasanya engkau tidak akan mencintai Allah sehinggalah mencintai apa yang membawa kepada ketaatan kepadaNya".

Berkata Basyir bin as-Sirry: "Bukanlah tanda cinta apabila engkau mencinta apa yang dibenci oleh kekasih engkau".

Berkata Abu Yakub (al-Junaid): "Sesiapa sahaja yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak mentaati apa yang telah diperintah, maka dakwaannya itu adalah batal".

Berkata Yahya bin Mu'az: "Usah dipercaya sesiapa yang mengaku mencintai Allah jika tidak memelihara hududNya (batas-batas Allah)".

Berkata al-Hasan: "Sesungguhnya tidak sempurna pengakuan seseorang : "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad Rasulullah jika seseorang itu menyedari bahawa cintanya terhadap Allah belum sempurna sebagaimana yang telah disampaikan oleh Muhammad dari Allah".

Tidaklah mencintai apa yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah kecuali dengan mematuhi apa yang disuruh padanya dan meninggalkan apa yang ditegah. Dan dijadikan mencintai Allah suatu kelaziman untuk mencintai RasulNya dalam hal mempercayai dan mentaatinya. Oleh sebab yang demikian ia diseiringkan dalam satu ayat pada mencintaiNya dan mencintai RasulNya. Sebagaimana firmanNya:

"(Semuanya itu) lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya". (AT-TAUBAH, 9:24)

Allah mencintai hambaNya yang istiqamah dalam mengerjakan yang wajib dan meninggalkan yang ditegah. Allah juga mencintai hambaNya yang mengerjakan tatawwu' dalam mengerjakan yang nawafil (perkara-perkara yang disunnahkan). Semuanya ini telah digambarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam hadith kudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari:

"Seseorang hamba akan sentiasa mendekatkan dirinya padaKu dengan (mengerjakan) nawafil (amalan-amalan sunnah) sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dia dengar, Akulah penglihatannya yang dia lihat, Akulah tangannya yang dia pegang dan Akulah kakinya apabila dia berjalan". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sebagaimana yang pernah dikuliahkan bahawa antara definisi ibadah ialah "taat" dan sekarang kita ditemukan dengan definasi yang seterusnya iaitu antara pengertian ibadah ialah : "cinta". Sememangnya seseorang itu tidak akan taat kecuali ada pada dirinya perasaan cinta dan tidak akan ada perasaan cinta kecuali adanya pengikat iaitu ketaatan, dua kalimah ini saling berkait dan tidak dapat dipisahkan. Cinta yang sebenar tidak boleh berbelah bagi sebagaimana firman Allah:

"Orang-orang beriman cintanya bersangatan kepada Allah". (AL-BAQARAH, 2:165)

Nabi Muhammad s.a.w mewajibkan orang-orang yang beriman mencintai Allah dengan sepenuh hati, jiwa dan raga sebagaimana sabda baginda:

"Cintailah Allah sepenuh hati kamu". (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

"Hendaklah mencintai Allah dan RasulNya melebihi selain dari keduanya". (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Seseorang mukmin diizinkan mecintai selain dari Allah dan RasulNya, tetapi tidak melebihi cintanya kepada Allah dan mencintai selain Allah pula demi semata-mata kerena mencintai Allah. Begitu juga apabila membenci, sewajarnya membenci semata-mata hanya kerana Allah. Bagi setiap mukmin semua perkara yang dilakukan mestilah dengan keikhlasan demi kerana Allah bukan kerana kepentingan sesuatu yang lain atau kerana hawa nafsunya. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w:

"Cintailah demi kerana Allah dan bencilah demi kerana Allah". (Hadis Riwayat Ibn Jarir)

0 komentar:

Posting Komentar

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites